Kenali Pengasas Pusat Tarbiah Hafaz Quran Ibnu Sina
Allahyarham Ustaz Yahya bin Abdullah
Diasaskan oleh Al-Marhum Ust Hj Yahya bin hj Abdullah, pada asalnya memiliki impian untuk menjadi hafiz al-Quran ketika usianya 50 tahun. Hasrat beliau tidak kesampaian sehingga menyebabkan beliau mengalihkan impiannya itu kepada membuka sekolah tahfiz. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda agak lewat pada usia 40 tahun dari Universiti Mu'tah, Jordan. Berasal dari keluarga yang agak besar iaitu 15 orang adik beradik tidak berkesempatan untuk melanjutkan Ijazah Sarjana Muda kerana ingin memberi laluan buat adik-adik untuk menyambung pelajaran. Setelah berkhidmat selama 10 tahun sebagai guru agama, beliau mengambil keputusan untuk menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda dengan usaha sendiri di Universiti Mu'tah Jordan.
Setelah selesai 3 tahun setengah menyelesaikan Ijazah Sarjana Mudanya di bidang Syariah, beliau melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana (Master) di Universiti Kebangsaan Malaysia di dalam bidang Pendidikan. Beliau memiliki pengalaman mengajar yang begitu luas, pernah berkhidmat sebagai guru agama di SMK Kamunting, Gunung Semanggol, SMK Mudzaffar Shah, dan terakhir di SMK Gorge. Beliau menyambung pendidikan di dalam Master Pendidikan di UKM, sebelum dilantik menjadi Pensyarah Maktab Sultan Abdul Halim di Sungai Petani dan Maktab perguruan Institusi Perguruan Pulau Pinang di Pulau Pinang.
Beliau memiliki impian yang cukup besar untuk melihat generasi muda membesar mengikut acuan Islam. Bagaimana Rasulullah s.a.w mentarbiah generasi muda sehingga melahirkan ramai tokoh-tokoh remaja yang harus diteladani seperti Anas bin Malik r.a, Usamah b Zaid r.a, Muaz bin Jabal r.a, Ali bin Abi Talib r.a. Generasi inilah yang mencelikkan dunia sehingga melahirkan tokoh-tokoh dunia seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, al-Farabi dan Imam Bukhari.
Al-Marhum meninggalkan kita dalam usia yang rancak memikirkan pembangunan anak-anak muda, punca pemergiannya juga adalah disebabkan terlalu memikirkan pembangunan PTHQ Ibnu Sina dan akhirnya beliau mengalami (serangan stroke). Pada tanggal 4 November 2014, beliau dijemput oleh Allah swt dalam usia 55 tahun dan meninggal 9 orang anak dan seorang balu, semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman di dalam syurga.